Komitmen ke arah kejayaan

SANTAPAN MINDA Oleh DR. ISMAIL ZAIN

Komitmen serta penumpuan yang serius harus diberikan pada pada pembelajaran oleh semua murid dalam menjayakan proses transformasi pendidikan. Tahun 2011 memperlihatkan beberapa kesinambungan agenda pendidikan serta pembaharuan yang harus disokong oleh semua warga pendidik terutamanya dalam kalangan murid.

Transformasi pendidikan ini ialah bertujuan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai nilai ilmu dan kemahiran yang tinggi dan bertaraf dunia. Ia bukan sekadar untuk menempah kejayaan dalam bidang akademik sahaja tetapi juga dalam bidang kokurikulum yang mampu memantapkan diri serta mampu juga menjadi pilihan bidang kerjaya yang berprestij dan lumayan.

Murid harus mengambil bahagian dalam acara sukan yang diwajibkan bukan sekadar memenuhi keperluan tetapi menguji agar potensi yang ada pada diri akan terserlah. Kegiatan sukan ini haruslah digandingkan dengan bidang akademik agar mampu melahirkan insan lebih dinamik, tidak mudah berputus asa, serta mampu menghadapi cabaran dengan lebih bersemangat.

Kejayaan sesebuah negara banyak bergantung kepada keamanan dan kesejahteraan rakyatnya. Keamanan dan kesejahteraan ini harus dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Justeru, murid harus memainkan peranannya dalam usaha menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan murid yang berbilang kaum. Perpaduan akan terjalin jika murid mempunyai aras disiplin yang tinggi.

Keretakan dalam perpaduan akan berlaku jika murid melanggar peraturan sekolah seperti ponteng sekolah, melakukan aktiviti jenayah seperti terlibat dalam aktiviti yang tidak bermaruah, merokok, merempit, membuli rakan, dan sebagainya. Aktiviti seperti ini melibatkan penubuhan kumpulan murid yang mudah mencetuskan pertelingkahan yang mungkin berakhir dengan satu trajedi.

Aktiviti akademik harus diberi tumpuan serta melibatkan diri dengan aktif. Pembelajaran akan menjadi bosan terutamanya pelajaran yang melibatkan bacaan dan huraian fakta seperti pelajaran sejarah yang diwajibkan murid sekolah menengah mengikutinya. Sebenarnya tidak ada istilah bosan dalam proses pembelajaran jika murid tahu menggunakan pelbagai strategi dan teknik pembelajaran.

Teknik pembelajaran berkumpulan, penggunaan peta minda, aplikasi perisian komputer, diskusi, lawatan sambil belajar, serta banyak lagi kaedah dapat digunakan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan. Apa yang penting ialah murid harus fokus, mengambil bahagian dengan aktif, kreatif dalam melaksanakan sesuatu tugasan serta patuh dengan arahan guru ketika belajar.

Segala langkah ini harus dimulakan di awal tahun lagi. Segala bentuk penangguhan dalam tugasan akan menjadi bebanan, dan bebanan ini menjadi penyumbang kepada sifat malas. Oleh itu murid harus bergerak dan janganlah bertangguh-tangguh lagi seperti menanti kucing bertanduk untuk melakukan perubahan. Ingat setiap penangguhan akan berakhir dengan kegagalan dan setiap pembaharuan itu akan mengundang kejayaan. Selamat menempuh tahun 2011 dengan penuh kecekalan dan keinsafan.

Kredit : ADAP

No comments:

Post a Comment

Sila Berikan Komen Anda Disini

Letak Iklan anda disini RM50 sebulan.1 Kekosongan sahaja lagi