Mengenal pasti kelemahan pelajaran


KENAL pasti kelemahan di peringkat awal supaya dapat keputusan peperiksaan yang cemerlang. – Gambar hiasan


SANTAPAN MINDA Oleh DR. ISMAIL ZAIN

MENGULANG kaji pelajaran bukan bermakna membaca, menghafal atau membuat latihan semata-mata. Jika ini dilakukan maka murid-murid hanya mengetahui apa yang diketahui sahaja.

Dalam usaha mengulang kaji pelajaran murid-murid juga harus mengetahui apa yang tidak diketahui oleh kerana apabila kita gagal menjawab sesuatu soalan, ini menunjukkan kita masih kurang memahami isi sesuatu topik pelajaran tersebut.

Dalam erti kata yang lain murid-murid harus mengetahui kelemahan yang ada pada diri masing-masing mengikut subjek yang tertentu yang akan menjadi punca kepada penurunan prestasi dalam peperiksaan nanti.

Perkara ini dapat dilakukan dengan cara menganalisis topik atau isi-isi yang terkandung dalam sesuatu unit atau bab sama ada daripada buku teks atau nota yang diberikan oleh guru atau yang dicatat sendiri oleh murid-murid.

Sebagai contoh murid-murid boleh menganalisis topik pelajaran tersebut dalam bentuk simbol lakaran grafik seperti bulatan atau segi empat serta arah anak panah untuk menunjukkan perkaitannya. Apabila selesai melakukannya murid-murid dapat melihat keseluruhan isi pelajaran tersebut.

Proses ini dikenali sebagai mapping atau pemetaan kerana ia menampakkan keseluruhan struktur serta komponen rangkaian isi topik tersebut. Pemetaan ini mampu memberi maklum balas kepada murid-murid sejauhmanakah keseluruhan komponen tersebut telah difahami atau adakah terdapat di antara komponen tersebut masih berada dalam keadaan yang samar-samar dari aspek pemahamannya.

Jika ini berlaku maka murid-murid haruslah bertindak segera dengan cara mengulangi pembacaan dan pemahaman topik teresebut. Sila hubungi guru dengan segera untuk mendapat bantuan. Buat semula nota kecil atau lakaran peta minda dan pengurusan grafik mengikut kesesuaian untuk memudahkan pemahaman dan meningkatkan daya ingatan.

Adalah wajar setiap murid mengenal pasti apakah topik-topik yang masih tidak difahami atau masih berada dalam keadaan yang mengelirukan. Perkara ini amat penting kerana jika murid-murid masih berada dalam keadaan kekeliruan, maka sudah tentu apa yang diulang kaji itu tidak akan mencapai matlamatnya.

Pastikan anda tidak membuang masa dengan hanya mengulang kaji pelajaran secara membabi buta sahaja dan akhirnya menyalahkan orang lain jika berlakunya kegagalan. Mengulang kajilah secara berstruktur dan bersistematik kerana ini adalah cara yang bijak yang mampu memberi pulangan yang lumayan dalam keputusan peperiksaan kelak.


Kredit : ADAP

No comments:

Post a Comment

Sila Berikan Komen Anda Disini

Letak Iklan anda disini RM50 sebulan.1 Kekosongan sahaja lagi