Persediaan membuat tugasan sekolah

RAMAI murid yang berasa tertekan apabila menerima sesuatu tugasan daripada guru masing-masing. Mereka menganggap tugasan itu sebagai satu bebanan yang akan mengganggu masa belajar dan jadual ulang kaji yang telah ditetapkan.

Tugasan sekolah - ada yang menamakannya sebagai kerja sekolah atau kerja rumah - adalah salah satu bentuk penilaian formatif yang bertujuan mengukur sejauh mana pemahaman murid terhadap topik yang diajar oleh guru.

Ia juga merupakan satu kesinambungan pengajaran guru di sekolah dengan pembelajaran murid di rumah. Kebiasaannya tugasan ini lebih mirip kepada soalan pendek atau pencarian maklumat dalam proses penyelesaian masalah yang dipelajari pada ketika itu.

Dalam hal ini tugasan sekolah harus dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh kerana ia merupakan salah satu strategi mengulang kaji topik pelajaran harian sebelum melangkah ke topik yang lain.

Kegagalan memahami topik tersebut akan menjejas pula kepada pemahaman topik yang berikutnya.

Jika keadaan ini berlaku secara berterusan maka berkemungkinan besar murid-murid akan menjadi hilang tumpuan dan ketinggalan ketika belajar kerana tidak dapat memahami apa yang diajar oleh guru.

Justeru, beberapa langkah berikut harus dibuat untuk memastikan tugasan dapat dibereskan dengan sempurna dan berkesan.

  • Merujuk bahan pelajaran
    Kebiasaannya tugasan yang diberikan oleh guru di sepanjang pengajaran merupakan tugasan yang berkaitan rapat dengan pengajaran yang diajar pada ketika itu. Oleh itu pastikan murid-murid merujuk dahulu nota, buku teks atau mendapat maklumat dengan melayari laman sesawang yang tertentu sebelum membuat tugasan tersebut.
  • Memahami soalan tugasan
    Apabila maklumat telah terkumpul, cuba fahami apakah kehendak soalan tersebut. Hanya maklumat yang berkaitan dengan kehendak soalan itu sahaja yang perlu digunakan.
  • Berfikir secara kritis dan kreatif
    Dalam sistem pendidikan masa kini murid-murid digalakkan berfikir secara kritis dan kreatif. Hal ini bermakna setiap maklumat yang diterima harus dikaji dahulu.

Ia tidak boleh disalin secara terus sebagai jawapan. Murid-murid harus berfikir dengan cara menggabung dan menganalisis perkaitan antara maklumat-maklumat tersebut sama ada dalam bentuk teks, gambar, carta ataupun lakaran grafik untuk disesuaikan dengan kehendak soalan dan kemudiannya barulah ditulis jawapannya.

  • Berbincang dengan rakan
    Jika terdapat keraguan atau kekeliruan dalam memahami soalan atau maklumat yang diterima, maka murid-murid haruslah berbincang dengan rakan-rakan. Jangan sekali-kali meniru rakan dengan hanya menyalin jawapannya tanpa memahami isi kandunganya. Perbuatan ini salah dari segi etika dan peraturan sekolah yang akhirnya merugikan diri sendiri.
  • Komitmen yang sepenuhnya
    Ada juga murid-murid yang membuat tugasan sekolah seperti melepas batuk di tangga sahaja iaitu tidak melakukannya secara serius atau tanpa komitmen yang sepenuhnya. Oleh itu tangani sikap buruk ini dan mulakan tugasan dengan sepenuh perhatian serta secara ikhlas tanpa dipaksa oleh sesiapa.
  • Pengurusan masa
    Seperti yang dinyatakan melakukan tugasan sekolah sama seperti mengulang kaji pelajaran. Oleh itu pastikan murid-murid menetapkan waktu membuat tugasan sekolah setiap hari dalam jadual pengurusan masa harian.

Semoga segala tugasan yang diberikan oleh guru mampu memantapkan lagi pemahaman murid terhadap pelajaran harian serta beroleh kejayaan.

Kredit : ADAP

No comments:

Post a Comment

Sila Berikan Komen Anda Disini

Letak Iklan anda disini RM50 sebulan.1 Kekosongan sahaja lagi