Jadual belajar

PEMBELAJARAN berlaku pada setiap hari. Apa yang kita belajar itu mungkin dalam bentuk tugasan yang diberikan oleh guru, mengulang kaji pelajaran yang lalu atau membuat latihan yang bertujuan memantapkan pemahaman sesuatu topik yang dipelajari.

Dalam hal ini pembelajaran akan lebih teratur jika terdapatnya jadual belajar yang disusun rapi. Jadual belajar yang mengandungi huraian subjek, topik, tindakan yang akan dilakukan dan jangka waktu yang sesuai boleh membantu murid-murid merancang aktiviti harian sama ada selepas sekolah atau pada masa cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti penggal persekolahan.

Persoalannya ialah apakah yang perlu ada pada sesuatu jadual belajar tersebut. Kebiasaannya ramai murid-murid meletakkan pelbagai aktiviti selain daripada belajar seperti waktu rehat, waktu menonton televisyen (TV) dan melayari Internet ke dalam waktu belajar tersebut. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ia berguna kerana mampu merancang kegiatan yang kita lakukan serta waktunya.

Walau bagaimanapun terdapat sedikit kelemahan. Sebagai contoh jika kita letakkan waktu menonton TV pada jam 9 malam, maka minda kita sejak awal lagi sudah ditentukan bahawa pada waktu tersebut tindakan menonton TV harus dilakukan.

Hal ini sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan terhadap pelajaran. Menonton TV bukan sesuatu yang wajib atau tidak termasuk dalam aktiviti belajar. Oleh itu kita tidak perlu memasukkan jadual tersebut dalam jadual belajar tetapi ini bukan bermakna kita tidak boleh menonton TV. Sekadar tidak dijadikan sebagai satu bentuk aktiviti yang sudah dirancang.

Lain pula keadaannya dengan melayari Internet atau laman-laman yang berkaitan dengan e-pembelajaran. Jika inilah tujuannya kita melayari Internet, maka ia boleh dimasukkan dalam jadual belajar kerana ia merupakan sebahagian daripada aktiviti belajar.

Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang lain seperti bermain, mendengar radio dan sebagainya tidak seharusnya dimasukkan ke dalam jadual belajar kerana ia boleh dilakukan jika terdapat kelapangan.

Ada juga murid yang berpendapat bahawa setiap aktiviti yang kita lakukan sama ada ianya berbentuk aktiviti belajar atau tidak perlu juga dicatatkan untuk memudahkan perancangan harian. Memang betul pendapat yang dikemukakan. Anda boleh merancang aktiviti harian yang bertujuan untuk menentukan secara umum tindakan anda seharian seperti belajar, bermain, melayari internet dan sebagainya.

Jadual umum ini tidak menunjukkan secara tepat apa yang hendak dilakukan sewaktu tibanya waktu belajar. Oleh itu saya nasihatkan supaya setiap murid harus mempunyia jadual khas yang dinamakan jadual belajar yang memberi fokus terhadap apa yang hendak dilakukan ketika belajar secara lebih terperinci.

Kaedah ini mampu memberi hala tuju, penumpuan dan komitmen yang sepenuhnya apabila seserang murid itu memulakan sesi belajar di rumah.


ADAP

No comments:

Post a Comment

Sila Berikan Komen Anda Disini

Letak Iklan anda disini RM50 sebulan.1 Kekosongan sahaja lagi